Putrajaya, 16 Julai 2012 – YB Datuk Seri Noh Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani telah merasmikan MAHA International 2012 soft launch di hotel Marriot hari ini.
MAHA International 2012 yang dihoskan
oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dengan kerjasama
MARDI dan MARDITECH Corporation Sdn. Bhd. serta Jabatan dan Agensi di
bawah MOA akan diadakan pada 23 November hingga 2 Disember 2012
bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Acara yang akan berlangsung selama 10
hari ini diadakan serentak dengan Hari Peladang, Perternak dan Nelayan
Kebangsaan (HPPNK). HPPNK merupakan satu program penghargaan kerajaan
untuk kumpulan peladang, perternak, nelayan serta usahawan agro di
seluruh Negara .
Bertemakan “Transformasi Pertanian
Melalui Inovasi”, MAHA International 2012 akan memaparkan kejayaan
sektor pertanian dan industri asas tani serta ternakan dari aspek
inovasi dan teknologi terkini. Selain penglibatan dari agensi-agensi
kerajaan, pihak swasta dan usahawan dalam negara, pameran ini juga akan
disertai lebih 19 buah Negara seluruh dunia. Sehingga kini, negara yang
telah mengesahkan penyertaan adalah Afghanistan, Vietnam, Singapura,
Korea Selatan, India, Qatar dan Sri Lanka.
Menariknya, di dalam dewan pameran A, konsep peragaan akan memberi keutamaan kepada proses yang berkonsepkan ‘from farm to table’
yang direalisasikan oleh agensi-agensi kerajaan. Para pengunjung akan
turut dapat menyaksikan proses peralihan dari produk huluan hingga ke
produk hiliran. Pameran kali ini lebih memberi tumpuan kepada NKEA
Pertanian yang akan menjelaskan rakyat pentingnya inisiatif-inisiatif
ini bagi perkembangan sektor pertanian Negara dan sumbangan yang dapat
disalurkan untuk ekonomi Negara.
Di sekeliling ruang pameran bertutup
seluas 42,000 meter persegi, terdapat 7 kawasan bertema yang mempamerkan
aktiviti agensi-agensi di bawah naungan MOA termasuklah perikanan,
ternakan, bunga-bungaan, jentera, sayur-sayuran, beras dan nenas.
Pengunjung juga akan dapat menyaksikan produk-produk hasil tani menarik
yang turut membuka peluang untuk usahawan yang berminat menceburi
bidang tertentu.
Selain menyaksikan inovasi dan
teknologi terkini, pengunjung MAHA International 2012 juga akan
berpeluang menikmati produk-produk pertanian yang segar, makanan-makanan
yang diproses dan hasil tani seperti durian dan produk industri asas
tani. Pengunjung juga akan berpeluang menyaksikan beberapa demonstrasi
dalam bidang ternakan, sayur-sayuran, bunga-bungaan, beras, jentera dan
nenas.
Beberapa aktiviti kebudayaan dan pameran
produk juga akan dipamerkan di 13 astaka negeri-negeri di Malaysia.
Setiap astaka akan dihiasi indah dan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti
menarik untuk menjemput pengunjung menikmati acara kebudayaan setiap
negeri tersebut.
Bagi menggalakkan golongan remaja
terlibat di dalam sektor pertanian, beberapa siri seminar akan diadakan
bagi memupuk minat mereka untuk menceburi bidang pertanian. Seminar
berkaitan teknologi dan inovasi terkini di dalam pertanian dan
pengendalian ternakan akan berlansung sepanjang MAHA International 2012.
Bersandarkan program yang lebih
tersusun, MOA optimis lebih ramai pengunjung akan menghadiri pameran ini
seterusnya sasaran melebihi 2.6 juta pengunjung akan dapat dicapai. MOA
juga berharap penganjuran pameran kali ini dapat menandingi kejayaan
pameran MAHA International 2010 dan seterusnya dapat memecahkan rekod
kehadiran yang sedia tercatat dalam Malaysia Book of Record.
Bagi keselesaan pengunjung, pihak
penganjur akan menyediakan tempat letak kenderaan yang mencukupi dan
trem untuk membawa pengunjung ke tapak pameran yang dibuka kepada orang
ramai dan pelawat dagang mulai 10 pagi hingga 10 malam. Masuk adalah
percuma dan sebarang maklumat lanjut mengenai MAHA International 2012
boleh diperolehi menerusi laman sesawang rasmi www.maha.gov.com atau menghubungi urus setia di talian 03 89439877 (Encik Abdul Rahman Harun) serta email arahman_harun@yahoo.com.
No comments:
Post a Comment